Rosniza angkat martabat wanita seiring lelaki


KOTA BHARU: Siapa kata wanita tidak boleh menceburi bidang yang dimonopoli lelaki? Apatah lagi jika bidang itu sesuatu yang lasak dan mencabar.

Rosniza Ghazali, 42 mampu menepis kata-kata “wanita tempatnya hanya di dapur”. Dia merupakan seorang jurulatih di Institut Memandu Anda Melor.

Menjadi tenaga pengajar kereta mungkin kedengaran biasa tetapi menjadi tenaga pengajar untuk treler serta jentera berat dan motosikal berkuasa tinggi, itu sesuatu yang luar biasa.

Anak kelahiran Kampung Kedai Buloh ini pernah menjadi wanita pertama merintis bidang pemanduan di Kelantan apabila menyertai kursus GDL Bersendi (treler), mengajar lori Kelas E dan Jentera Berat Berantai Kelas 1 pada 2012. Malah, beliau pernah menjadi guru memandu wanita tunggal dan pertama di Akademi Memandu Berhemah Kotaraya pada 2003.

Semuanya atas bimbingan dan tunjuk ajar ketuanya di Institut Akademi Memandu Anda Melor, Kamaruddin Hassan, kemudian ke Harmony Driving Academy Sungai Buloh, Selangor pada 2005 hingga 2011. Dia kemudian kembali berkhidmat di Institut Akademi Memandu Anda Melor sehingga sekarang.

Rosniza Ghazali, pernah menjadi guru memandu wanita tunggal dan pertama di Akademi Memandu Berhemah Kotaraya pada 2003. (Gambar Bernama)

“Mengajar memandu ini melibatkan nyawa dan cenderung kepada risiko kemalangan jalan raya, sebab itulah tidak ramai wanita menyertai bidang ini.

“Mungkin ramai tidak tahu bidang ini memang lasak, namun keseronokan dan kepuasan hanya mereka yang berada dalam bidang ini sahaja boleh merasainya,” katanya.

Berkecimpung selama 19 tahun dalam bidang pemanduan dan melatih calon mendapatkan lesen memandu, Rosniza pernah mengikuti kursus bagi mendapatkan Sijil Pengajar Institut Memandu (SPIM) pada 2002, malah beliau berjaya menjadi guru memandu wanita dalam kalangan 10 orang di Kelantan ketika itu.

“Masa mula-mula menjadi guru memandu, memang saya akui tanggapan orang ramai terhadap guru wanita yang tidak yakin dengan kecekapan dan kemahiran dalam pemanduan.

“Ketika itu, ramai yang tidak yakin apabila saya boleh mengajar mereka memandu, namun ada dalam kalangan calon yang mahukan guru wanita terutama mereka yang menjaga aurat dan lebih selesa dengan kaum wanita,” katanya.

Mengulas lanjut, kata Rosniza setelah seorang calon berjaya mendapatkan lesen, lama-kelamaan rasa tidak yakin itu beransur hilang dan semakin ramai yang memohon guru memandu wanita mengajar mereka.

Menariknya dalam pengalaman Rosniza menjadi guru memandu wanita, beliau sentiasa berhadapan dengan pelbagai ragam calon, malah tidak dapat melupakan seorang calon yang sangat fobia belajar memandu.

“Tidak silap pada 1997 calon perempuan berusia 18 tahun belajar kereta namun akibat terlalu takut, semasa mempraktikkan kemahiran itu dia mengambil masa satu jam untuk menggerakkan kereta.

“Bayangkan ketika pertama kali dia memandu, stereng yang dibawa berpusing ke kiri dan kanan semasa di jalan raya berikutan perasaannya yang terlalu gemuruh,” ujarnya.

Rosniza berkata dalam situasi sebegitu, beliau mengambil langkah menenangkan calon berkenaan, memujuknya supaya tidak lemah semangat dan meneruskan usaha sehingga mendapat lesen memandu.

Menurutnya, usaha itu berhasil apabila calon tersebut berjaya mendapatkan lesen memandu setelah mengambil kelas teori dan praktikal selama dua hari dalam tempoh 25 jam.

Kini, Rosliza lebih menumpukan perhatian namun terhadap pengurusan di pejabat, namun sesekali atas minatnya beliau masih meninjau keadaan di litar kerana di situlah tempat dia bermula.

Rosniza Ghazali, sedang menilai calon bagi lesen motosikal berkuasa tinggi. (Gambar Bernama)

Sementara itu, calon untuk lesen motosikal berkuasa tinggi, Mohd Zulkarnain Deraman, 44, berkata beliau yakin dengan kebolehan yang dimiliki oleh Rosniza sebagai Pelatih dan Penilai bagi lesen memandu kenderaan berat.

“Pada mulanya saya terkejut melihat wanita yang mengajar lelaki memandu, tetapi apabila berurusan dalam bidang ini, beliau tahu semua selok-belok mengenai kenderaan berat dan lasak,” katanya.

Bagi Mohd Shahiran Md Radze, 37, dari Kok Lanas, beliau menaik taraf lesen lorinya daripada tiga tan kepada lori 7.5 tan ke bawah di institut memandu tersebut.

“Rosniza mampu membuktikan bidang sebegini dapat dikuasai oleh wanita sekali gus usahanya memberi semangat untuk calon lebih yakin bahawa kita boleh memandu dengan baik,” katanya.


Like it? Share with your friends!

What's Your Reaction?

hate hate
0
hate
confused confused
0
confused
fail fail
0
fail
fun fun
0
fun
geeky geeky
0
geeky
love love
0
love
lol lol
0
lol
omg omg
0
omg
win win
0
win
Aizat tazia

Emperor

0 Comments

Your email address will not be published. Required fields are marked *