Rahsia Resepi Laksa Sedap Ikut Negeri


Dibawah ini Filza kongsikan Resepi lengkap Laksa setiap negeri

Laksa Penang :

  • Masa Penyediaan: 30 minit,
  • Masa Memasak:20 minit,
  • Jumlah Hidangan:10-15 orang

Resepi Oleh: Che’ Nom

Laksa Penang ni memang sedap kerana dihidangkan bersama kuah yang pekat, masam, pedas, dan sangat beraroma dari dua bahan iaitu daun kesum dan bunga kantan. Pengunaan ikan yang fresh juga sangat mempengaruhi kesedapan Laksa Penang.

Bahan-Bahan:

  • Bahan-bahan untuk direbus:
    • 1 kg ikan kembung
    • 5 keping asam keping
    • air secukupnya
    • Bahan-bahan kisar (A):
    • 5 biji bawang merah
    • 1 biji bawang besar
    • 4 ulas bawang putih
    • cili padi, buang tangkai
    • 25 biji cili kering, buang biji dan rebus
    • Bahan-bahan kisar (B):
    • isi ikan kembung
    • air rebusan ikan kembung
    • asam keping dari rebusan ikan
    • Bahan-bahan kisar (C):
    • isi ikan sardin tin, dari 1 tin kecil
    • sedikit air
    • Bahan-bahan kisar (D):
    • tulang ikan kembung
    • sedikit air
    • Bahan-bahan kisar (E):
    • 1/2 biji nenas
    • sedikit air
  • Bahan-bahan untuk sediakan kuah:
    • 1/2 liter air
    • bahan-bahan kisar A,B,C,D,E (seperti di atas)
    • 1/2 mangkuk air asam jawa
    • 1-2 kuntum bunga kantan, belah 4
    • 1 ikat daun kesum
    • seketul belacan bakar, agak-agak sebesar ibu jari
    • 2 sudu besar petis
    • garam secukup rasa
    • 1 ketul kecil gula melaka, secukup rasa
  • Bahan-bahan untuk laksa:
    • 1 pek laksa kering
    • air secukupnya
  • Bahan-bahan untuk condiment/ taburan atas laksa penang:
    • daun salad
    • daun selom
    • timun
    • bawang besar
    • cili padi
    • cili merah
    • limau nipis
    • nenas
    • telur rebus

Cara Penyediaan:

  1. Rebus ikan kembung bersama asam keping dan air secukupnya dalam anggaran 10 minit atau sehingga ikan masak dan kemudian sejukkan
  2. Ambil ikan, asingkan bahagian isi dan tulang. simpan air rebusan dan asam keping.
  3. Kisar halus bahan-bahan A,B,C,D,E. Untuk Bahan D, tapis dan ambil airnya sahaja.
  4. Masukkan 1/2 liter air dalam periuk dan masak hingga mendidih.
  5. Masukkan bahan kisar halus A,B,C,D,E.
  6. Tambah air asam jawa, bunga kantan, daun kesum, belacan bakar, petis, garam dan gula melaka secukup rasa.
  7. Cara-cara untuk rebus laksa:
    1. Rendam laksa dalam air sehingga lembut.
    2. Tapis dan masukkan ke dalam periuk yang sudah mengandungi air mendidih secukupnya. Masak sehingga laksa lembut dan tapis.
  8. Cara-cara untuk condiment/bahan taburan:
    1. Hiris nipis daun salad atau daun selom, timun, bawang besar, cili padi, cili merah dan nenas.
    2. Rebus telur, kupas kulit dan belah 2.
    3. Potong limau nipis.
    4. Laksa sedia untuk dihidangkan.

Tips:

  • Kalau nak guna ikan selayang segar, atau ikan parang sebagai ganti pun boleh.
  • Jangan letak gula banyak sangat sebab kita tak nak kuah laksa yg manis. Cukup sekadar imbangkan rasa kuah.
  • Che Nom bilas sikit laksa yang sudah direbus denga air sejuk supaya hilang kanji laksa dan tidak lembik bila dihidangkan.

Laksa Johor

  • Masa Penyediaan: 45 minit,
  • Masa Memasak:25 minit,
  • Jumlah Hidangan:10 orang

Resepi Oleh: Che’ Nom

Resepi Laksa Johor yang mungkin ada yang tertanya-tanya kenapa laksa Johor menggunakan spaghetti berbanding laksa negeri lain yang lebih berunsur tradisi tempatan seperti menggunakan laksa dari tepung beras dan sebagainya. Barangkali ada sejarahnya yang tersendiri, dan ada sumber mengatakan penggunaan spaghetti adalah kerana pengaruh kerabat Johor yang berasal dari barat.

Penyediaanya agak rumit dan bahan yang digunakan pula adalah gabungan dari perbagai unsur menarik seperti rempah kari, kerisik dan isi ikan kurau masin. Kuahnya pula dihidangkan pekat dan kebiasaannya orang Johor makan dengan menggunakan tangan sahaja. Memang betul betul sedap bila dihidangkan bersama sambal belacan dan ulam-ulaman segar.

Anda harus cuba resepi ini.

Bahan-Bahan:

  • 1 kg ikan parang atau sardin (boleh campur), rebus dan asingkan isi. Simpan air rebusan.
  • santan, dari 1 biji kelapa
  • 2 sudu besar rempah kari daging
  • minyak masak
  • 1 batang serai, dititik
  • 3 sudu besar kerisik
  • 1 ikat daun kesum
  • 1 kuntum bunga kantan, belah 4
  • 5 helai daun pudina, hiris nipis (jika suka)
  • 2-3 kepingan asam keping
  • gula melaka
  • garam
  • Bahan-bahan untuk stock udang:
    • kulit dan kepala udang, dari semangkuk udang (asingkan isi untuk bahan kisar B)
    • 2 ulas bawang putih, hiris nipis
  • Bahan-bahan untuk kisar halus (A):
    • 1.5 inci kunyit hidup
    • 2 inci lengkuas
    • 2 inci halia
    • 15- 20 tangkai cili kering, buang biji dan rendam air panas
    • 8-10 biji bawang merah
    • 5 ulas bawang putih
    • 4 batang serai, hiris nipis
    • 1 sudu besar belacan bakar
    • 1 1/2 sudu besar udang kering, rendam sampai lembut
  • Bahan-bahan untuk kisar halus (B):
    • isi udang, anggaran semangkuk kecil
    • 100g isi ikan kurau masin, rendam sampai lembut
    • isi ikan rebus (dari bahan atas)
  • Bahan-bahan untuk spaghetti:
    • 1 paket spaghetti
    • 1 sudu besar garam
    • air secukupnya
    • sedikit minyak
  • Bahan-bahan untuk hiasan/ulaman:
    • timun, buang kulit dan biji,hiris nipis
    • taugeh, buang ekor
    • daun kesum, hiris nipis
    • kacang panjang, hiris dadu
    • bawang besar, hiris nipis
    • limau kasturi
    • lobak masin,celur dan rincik halus
    • bunga kantan, hiris nipis
    • daun selasih, hiris nipis
  • Bahan-bahan untuk sambal belacan:
    • 6-8 biji cili merah
    • 10-15 biji cili padi
    • 2 ulas bawang putih
    • belacan bakar, sebesar ibu jari
    • air perahan jus limau kasturi
    • garam dan gula secukup rasa

Cara Penyediaan:

  1. Cara-cara untuk stok udang:
    1. Kisar semua bahan sehingga halus.
    2. Kemudian tapis airnya.
  2. Cara-cara untuk spaghetti:
    1. Panaskan air sehingga mendidih. Masukkan garam dan spaghetti kering. Rebus mengikut arahan di paket.
    2. Toskan dan gaul dengan sedikit minyak supaya tidak melekat.
  3. Cara-cara untuk kuah laksa:
    1. Panaskan minyak masak dan tumis Bahan Kisar Halus A sampai naik bau.
    2. Masukkan serai yang dititik dan serbuk kari. Teruskan kacau di atas api perlahan sehingga pecah minyak dan garing.
    3. Masukkan pula Bahan Kisar Halus B, bersama air stok udang dan air rebusan ikan. Masak sehingga kuah mendidih.
    4. Masukkan santan, kerisik, daun kesum, bunga kantan, daun pudina, asam keping, gula melaka dan garam secukup rasa.
    5. Renehkan kuah di atas api perlahan sehingga mencapai tahap kepekatan yang sesuai.
    6. Hidangkan bersama spaghetti, bahan-bahan ulaman sambal belacan
  4. Cara-cara untuk sambal belacan:
    1. Kisar cili merah, cili padi, bawang putih dan belacan. Tidak perlu letak air dan jangan kisar terlalu halus.
    2. Perah jus limau kasturi dan perasakan dengan garam dan gula secukupnya. Siap untuk dihidang.

Tips:

  • Penggunaan jenis ikan amat mempengaruhi rasa laksa Johor. Kebiasaannya ikan parang menjadi pilihan kerana isinya yang manis dan sedap, tetapi boleh juga dicampur bersama ikan lain seperti sardin, kembung atau selar.
  • Kuah pula harus direneh perlahan-lahan setelah dimasukkan santan supaya kuah laksa akan pekat cantik tidak tidak terlalu pecah minyak dari lemak santan.

Laksa Utara

  • Masa Penyediaan: 35 minit,
  • Masa Memasak:40 minit,
  • Jumlah Hidangan:5 orang makan

Resepi Oleh: Che’ Nom

Resepi Laksa Utara yang asli, sangat terkenal di negeri Kedah dan Perlis, dengan perahan limau nipas dan cili padi pasti terangkat. Pastikan ikan yang segar digunakan untuk kuah laksa ini bagi menjamin rasa yang memuaskan. Juga pastikan kuah tidak terlalu cair atau terlalu pekat dan bahan ulaman segar digunakan untuk taburan di atas Laksa ini. Di utara, juadah ini adalah paling popular pada setiap kali rumah terbuka Hari Raya.

Bahan-Bahan:

  • 1 bungkus laksa beras
  • 1 kg ikan kembung
  • 1 sudu besar belacan
  • 2 kuntum bunga kantan. dibelah 4
  • 1 ikat daun kesum
  • 4 keping asam keping
  • gula dan garam, secukup rasa
  • Bahan untuk kisar halus:
    • 10-15 tangkai cili kering, buang biji dan rebus
    • 50g ikan bilis, rendam seketika
    • 2 biji bawang besar
    • 8 biji bawang merah
    • 6 ulas bawang putih
  • Bahan untuk hiasan:
    • 5 biji telur, direbus
    • 2 biji bawang besar, hiris nipis
    • 1 batang timun, hiris nipis
    • Limau nipis, di potong
    • 1 ikat daun selom
    • cili padi, hiris nipis

Cara Penyediaan:

  1. Rendam laksa kering dan kemudia rebus sehingga lembut. Angkat dan toskan.
  2. Rebus ikan yang telah dibersihkan bersama 1 asam keping dan sedikit bawang merah. Setelah masak, asingkan isi ikan dan air rebusan. Kisar halus. Kemudian kisar baki tulang ikan bersama sedikit air dan tapis airnya. Masukkan di dalam periuk dan rebus bersama bahan kisar halus selama lebih kurang 20 minit.
  3. Masukkan bunga kantan, daun kesum, asam keping, belacan, garam dan gula secukup rasa. Rebus lagi sehingga rasa bahan benar-benar sebati.
  4. Hidangkan laska bersama kuah dan bahan hiasan.

Tips:

  • Pastikan ikan kembung adalah segar untuk mendapat kuah laksa yang benar-benar enak.

Like it? Share with your friends!

What's Your Reaction?

hate hate
0
hate
confused confused
0
confused
fail fail
0
fail
fun fun
0
fun
geeky geeky
0
geeky
love love
0
love
lol lol
0
lol
omg omg
0
omg
win win
0
win
Filza

Legend

0 Comments

Your email address will not be published. Required fields are marked *