PERKAHWINAN ATAU IBADAH HAJI? MANA LAGI PENTING…


Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Perkahwinan atau pernikahan adalah sangat dituntut di dalam Islam. Sudah menjadi fitrah manusia untuk saling berkasih sayang ini diperjelaskan di dalam Al-Quran melalui firman Allah SWT:

Perkahwinan atau pernikahan adalah sangat dituntut di dalam Islam. Sudah menjadi fitrah manusia untuk saling berkasih sayang ini diperjelaskan di dalam Al-Quran melalui firman Allah SWT:

Maksudnya:“Dan segala sesuatu Kami ciptakan berpasang-pasangan supaya kamu mengingati (kekuasaan Kami dan mentauhidkan Kami) akan kebesaran Allah.” (Surah al-Zariyaat: 49)

Dari istilah syarak, nikah ialah suatu akad yang menghalalkan istimta’ (bersetubuh atau berseronok-seronok) di antara suami isteri dengan cara yang dibenarkan oleh syarak. Masyarakat arab menggunakan perkataan nikah dengan makna akad yang juga mambawa maksud persetubuhan serta berseronok-seronok. (Rujuk al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam al-Shafie, hlm. 671)

Setiap manusia yang sudah dewasa dan sihat dari sudut fizikal dan rohaninya sudah semestinya merasakan keinginan untuk berkahwin yang sangat tinggi disebabkan fitrah untuk saling memerlukan. Perkataan  “zawaj” yang digunakan di dalam Al-Quran bermaksud berpasangan dan mengikut konteks penggunaanya ia mambawa maksud perkahwinan. Allah SWT menjadikan perkahwinan untuk menghalalkan perhubungan dan mengelakkan penzinaan kerana manusia itu fitrahnya ingin berpasangan.

Oleh sebab itu, adalah dituntut kepada manusia yang sudah berkemampuan untuk segera melaksanakan sunnah yang dituntut ini, ini juga berdasarkan hadis nabi :

Rasulullah SAW bersabda :

Maksudnya: “Wahai para pemuda! Sesiapa di antara kamu telah mampu berkahwin, maka bernikahlah. kerana nikah itu dapat menundukkan mata dan memelihara faraj (kelamin) dan sesiapa tidak sanggup, maka hendaklah berpuasa kerana puasa itu dapat membendung syahwat.” Riwayat Muslim (3386)

Hukum Perkahwinan

Jumhur ulama’ telah bersepakat bahawa hukum asal pernikahan adalah sunnah bukannya wajib. Walau bagaimanapun, sebahagian ulama’ telah mambahagikan hukum nikah kepada 5 hukum mengikut kedudukan pelakunya :

  • Harus: Kepada orang yang tidak ada kepadanya galakan dan bantahan untuk berkahwin dan ini merupakan hukum asal perkahwinan.
  • Wajib: Sekiranya orang tersebut mempunyai nafsu yang kuat sehingga boleh menjerumuskannya kepada kemaksiatan sedangkan dia merupakan seorang yang berkemampuan.
  • Sunat: Bagi orang yang mampu namun masih mampu untuk mengawal nafusnya.
  • Makruh: Kepada orang yang tidak berkemampuan dari sudut nafkah batin dan juga zahir tetapi tidak mendatangkan kemudharatan kepada pasagannya tesebut.
  • Haram: Orang yang juga tidak berkemampuan memberi nafkah zahir dan batin serta tidak mempunyai keinginan untuk berkahwin atau dia mempunyai niat yang buruk sehingga mampu membawa kemudharatan kepada pasangannya.

Oleh hal yang demikian, jika dilihat hukumnya bergantung kepada individu terbabit, sekiranya dia mampu untuk menahan dirinya dan dia tidak terburu-terburu untuk berkahwin maka hendaklah dia mengerjakan haji terlebih dahulu berdasarkan Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Mengerjakan haji adalah kewajipan manusia terhadap Allah, iaitu (bagi) orang yang sanggup mengadakan perjalanan ke Baitullah. Barangsiapa mengingkari (kewajipan haji), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) dari semesta alam.”  (Surah Ali Imran: 97)

Dan ini diperkukuhkan lagi dengan hadis Nabi SAW :

Maksudnya: “Islam dibangun di atas lima perkara: bersaksi tidak ada sembahan yang berhak disembah selain Allah dan mengaku Muhammad adalah utusan-Nya, mendirikan shalat, menunaikan zakat, berhaji dan berpuasa di bulan Ramadhan.” Riwayat al-Bukhari (8) dan Muslim (16)

Walaubagaimanapun, sekiranya dia khuatir tidak mampu untuk menahan dirinya daripada melakukan kemaksiatan maka hendaklah dia mendahulukan perkahwinan bagi mengelakkan kemudharatan yang lebih besar.

Kesimpulan

Haji dan perkahwinan merupakan suatu perkara yang sangat dituntut di dalam agama. Walau bagaimanapun haji merupakan suatu kewajipan yang mesti dilaksanakan bagi golongan yang berkemampuan. Dan sekiranya dia tidak berada di dalam keadaan yang terdesak untuk berkahwin dan tidak mempunyai masalah untuk berkahwin sesudah itu, maka hendaklah dia melaksanakan kewajipan haji terlebih dahulu. Sesungguhnya Allah akan memberikan ganjaran kebaikan sebagai gantinya kerana haji merupakan suatu seruan dan suruhan Allah yang agung kepada manusia.

Akhir sekali, marilah kita berdoa semoga kita dijauhi dan dilindungi oleh Allah SWT daripada perkara-perkara yang dimurkai oleh-Nya seterusnya hidup dibawah rahmat-Nya. Amin.

Wallahua’lam


Like it? Share with your friends!

What's Your Reaction?

hate hate
0
hate
confused confused
0
confused
fail fail
0
fail
fun fun
0
fun
geeky geeky
0
geeky
love love
0
love
lol lol
0
lol
omg omg
0
omg
win win
0
win
Aizat tazia

Emperor

0 Comments

Your email address will not be published. Required fields are marked *