Jom Semak Tips Ini Sebelum Melangkah Ke Alam Rumah Tangga


Mendirikan rumah tangga tidak mudah seperti yang disangkakan. Alam rumah tangga bukan hanya memerlukan dua hati yang saling mencintai. Kebahagiaannya bukanlah seperti alam fantasi mahupun yang sering dipaparkan di media sosial.

Berdasarkan statistik daripada Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan bahawa jumlah perkahwinan meningkat tahun demi tahun. Namun, bukan itu sahaja, bilangan perceraian turut mencatatkan angka yang tinggi.

Perkara penting yang kita semua perlu sedar ialah perkahwinan merupakan sebuah ladang pahala. Ia adalah salah satu perkara yang boleh menarik rezeki dan dengan pernikahan juga anda telah melaksanakan ibadah yang paling besar ganjarannya.

Memang, alam rumah tangga itu tampak indah begitu juga dengan tanggungjawab dan amanah yang dipikul sebagai penambah rasa kepada perjalanan setiap pasangan.

Jangan berkahwin apabila melihat orang lain berkahwin, Jangan berkahwin hanya kerana anda ingin mengikut trend atau sebab takut hidup single. Tetapi, niatkanlah ia kerana Allah.

Dengan menjadikan berumah tangga itu sebagai ibadah, maka dengan izin Allah SWT segalanya akan dipermudahkan. 

Apa yang diperlukan sebagai persediaan melangkah ke alam perkahwinan?

#1 – Ilmu

Daripada Abu Hurairah ra, Rasulullah SAW pernah bersabda: “Sesiapa yang menempuh satu jalan untuk mencari ilmu pengetahuan, maka Allah memudahkan baginya satu jalan untuk menuju ke Syurga” (Hadis Riwayat Muslim no. 4867)

Ilmu bagaikan nyawa dalam sesebuah kehidupan. Dengan adanya ilmu, bukan sahaja pasangan yang akan mendapat manfaatnya, tetapi juga berguna buat generasi akan datang.

Paling indah apabila ilmu itu boleh memandu ahli keluarga anda untuk ke syurga, bukan? Maka, pastikan anda sudah bersedia dengan pelbagai jenis ilmu untuk memikul tanggungjawab di alam berumah tangga. 

Yang dimaksudkan dengan pelbagai jenis ilmu termasuklah ilmu berkaitan agama, ilmu rumah tangga dan ilmu kemahiran.

Sebagai contoh, memasak, bercucuk tanam dan bertukang. Selain itu, ilmu mendidik anak-anak serta ilmu lain yang bakal memberikan impak besar amat penting dalam sesebuah keluarga di kemudian hari.

#2 – Akhlak

Baginda SAW bersabda yang bermaksud:

“Sesungguhnya daripada orang beriman yang paling sempurna ialah yang paling baik akhlaknya dan yang paling mesra melayan ahli keluarganya.“(Riwayat al-Tirmizi, no. 2612)

Tidak usah terlalu berharap untuk mendapatkan jodoh yang baik. Seperti yang biasa didengar, jodoh itu umpama cermin kepada diri.

Daripada anda terkejar-kejarkan manusia yang sempurna akhlaknya, adalah lebih bagus jika anda sendiri yang berusaha untuk menjadi lebih baik. Tiba suatu waktu yang tepat, magnet jodoh yang sama akhlaknya dengan anda akan melekat jua. 

Bagaimana cara yang betul untuk memperbaiki akhlak? Salah satunya adalah dengan memperbanyakkan bacaan mengenai keperibadian dan amalkan apa yang dibaca itu dalam kehidupan anda.

Selain itu, apabila ada orang yang menegur atau memberi pandangan kepada anda, terimalah ia dengan hati yang terbuka.

Dengan penampilan akhlak yang mulia seperti bersopan santun, cara berpakaian yang menepati syariat dan menghormati agama serta sesama insan, ia adalah peribadi ideal untuk mendirikan rumah tangga yang diberkati.

Apabila akhlak anda sama cantik dengan pasangan, anak-anak anda juga bakal dicorakkan menjadi anak yang baik akhlaknya.

#3 – Ekonomi 

Kos sewaktu bujang dan setelah berumah tangga amat berbeza. Jangan disangka anda boleh menjalani kehidupan sama seperti anda masih bujang.

Jadi, persediaan untuk mendirikan rumah tangga dan selepas berkahwin hendaklah mencukupi terutamanya dari segi bajet dan kewangan. Anda perlu bersedia dengan segala kos yang akan datang.

Kewangan yang stabil mendorong kepada pembentukan keluarga yang bahagia. Sesudah memasuki alam rumah tangga, mempunyai pelan jangka panjang merupakan satu kemestian.

Anda perlu merangka kewangan dengan teliti. Pastikan ‘belanjawan’ itu meliputi semua benda seperti kos rumah tangga, ibu bapa di kampung serta untuk keluarga anda yang bakal berkembang.

Pengorbanan dan amanah yang dipegang itu besar. Hal ekonomi rumah tangga sememangnya menjadi salah satu sebab kepada konflik dan perceraian.

Ini dapat dibuktikan melalui Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), kes cerai semakin meningkat dan kebanyakannya berpunca daripada kewangan. 

Oleh itu, anda mestilah memiliki rancangan perbelanjaan demi menjamin kewangan yang sempurna.

Tidak kisah apa-apa pekerjaan yang anda jalani, biarlah ia halal dan mampu menampung tanggungjawab kepada keluarga.

Selain itu, anda boleh belajar lebih mendalam tentang pengurusan kewangan dan mula didik diri untuk menyimpan wang dari sekarang.

#4 – Kesihatan

Anda tentu mengidamkan tubuh badan yang sihat sebelum berkahwin. Atau mungkin anda sudah pun memilikinya. Tapi adakah anda betul-betul sihat? Luaran dan dalaman? Apabila kedua-duanya sihat, anda akan kuat dan mampu untuk melaksanakan tanggungjawab semasa berumah tangga.

Jadi, untuk memastikannya,anda boleh membuat semakan di mana-mana klinik atau hospital.

Ia penting bagi mengelakkan sebarang penyakit mahupun memberi kesan kepada zuriat anda. Dengan langkah awal, anda dapat mengesan atau menyediakan rawatan jika diperlukan. Kan lebih baik mencegah daripada merawat.

Antara pemeriksaan yang boleh dilakukan ialah pemeriksaan darah, organ dalaman dan apa-apa lagi yang berkaitan.

Justeru, penjagaan kesihatan hendaklah dititikberatkan sebelum memulakan langkah ke dalam rumah tangga.

Baik lelaki mahupun perempuan. Anda perlu menjaga pemakanan, beriadah termasuklah memastikan badan anda mendapat rehat dan tidur yang cukup. Perkara ini amat penting demi mendapatkan mental yang sihat serta gaya hidup yang sentiasa produktif.

Kesimpulan

Setelah merujuk kepada tips sebelum melangkah ke rumah tangga, adakah anda sudah bersedia?

Peribahasa ukur baju di badan sendiri amat sesuai pada zaman ini. Berkahwinlah seandainya telah betul-betul sedia.

Sekiranya lengkap semua yang dinyatakan, maka teruskanlah bergerak ke peringkat seterusnya. Moga anda dipermudahkan segala urusan dalam membina sebuah keluarga yang bahagia.


Like it? Share with your friends!

What's Your Reaction?

hate hate
0
hate
confused confused
0
confused
fail fail
0
fail
fun fun
0
fun
geeky geeky
0
geeky
love love
0
love
lol lol
0
lol
omg omg
0
omg
win win
0
win
Aizat tazia

Emperor

0 Comments

Your email address will not be published. Required fields are marked *