Guru manfaatkan tempoh PKP dengan hobi menanam strawberi


MARANG: Seolah-olah berada di pusat peranginan terkenal, Cameron Highlands apabila melihat halaman rumah yang dipenuhi dengan kehijauan daun dan kemerahan buah strawberi yang menyejuk mata memandang.

Sesiapa sahaja pasti terpegun melihat keindahan ini apabila singgah di kediaman guru agama yang terletak di Kampung Berangan Pak Ayu, di Bukit Payong, Marang Trengganu.

Menurut Ramli Yusof, 55, atau lebih mesra dengan panggilan Ustaz Ramli pada mulanya dia hanya menanam sekitar 50 pokok strawberi sejak dua tahun lepas sebagai hobi.

Namun, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama kira-kira tiga bulan sejak Mac lepas telah memberi kesempatan kepada guru di Sekolah Kebangsaan Bukit Payong ini untuk meluangkan masa di kebunnya yang sehingga kini mempunyai 1,200 pokok strawberi terdiri daripada pelbagai jenis.

“Kalau tidak kerana PKP mungkin tanaman strawberi saya tidak akan jadi sebanyak ini. Sepanjang PKP, selepas sahaja selesai urusan sekolah dan sesi mengajar secara dalam talian, saya pun menghabiskan masa dengan menanam strawberi.

“Kini, selepas subuh sebelum ke sekolah saya akan meluangkan masa sekurang-kurangnya satu jam di kebun mini strawberi ini,” katanya yang menamakan kebun mininya sebagai ‘Strawberry_Tokki’.

Ramli sememangnya gemar bercucuk tanam sejak muda lagi dan dia menimba ilmu mengenai penjagaan pokok strawberi daripada rakan dan menonton video-video di saluran YouTube.

Malah, dia turut mengatakan bahawa cara penanaman strawberi tidaklah rumit seperti yang disangka ramai, malah ia merupakan tanaman yang tahan lasak dan sukar untuk ‘mati’.

Ustaz Ramli berdiri di hadapan kebun strawberi mini atau ‘Strawberry Tokki’ di rumahnya. (Gambar Bernama)

“Yang penting ia perlu sentiasa lembap dan diberi baja yang cukup. Saya juga memasang jaring di sekeliling kebun bagi menghindari buah strawberi dimakan burung,” katanya.

Isterinya Norizan Pipeh, 51, yang juga seorang guru turut membantu Ramli bersama-sama mengusahakan kebun mini ‘Strawberry_Tokki’ yang mula dibuka untuk kunjungan orang ramai sejak kira-kira lima bulan lepas.

Katanya setakat ini, ‘Strawberry_Tokki’ yang dibuka setiap Jumaat dan Sabtu itu tidak henti didatangi pengunjung termasuk dari luar Terengganu.

“Ada yang datang dari jauh membawa ibu bapa yang telah tua kerana teringin hendak melihat buah strawberi memandangkan perjalanan ke Cameron Highlands agak jauh dan cuaca di situ agak mencabar bagi warga emas. Jadi mereka datang ke sini sahaja. Cuma sejak kes COVID-19 yang semakin meningkat semula ini saya menghadkan jumlah kedatangan pengunjung untuk menjaga SOP (prosedur operasi standard).

“Tiada sebarang bayaran dikenakan untuk masuk ke sini. Malah, sekiranya ada buah strawberi yang telah masak, mereka boleh merasanya dengan percuma. Saya hanya jual anak pokok sahaja. Apa yang saya lakukan ini adalah kerana minat, bukannya keuntungan semata-mata,” katanya yang menjual anak pokok strawberi antara RM15 hingga RM20.

Selari dengan peredaran semasa, Ramli yang merupakan datuk kepada tiga cucu itu telah mula memasarkan anak pokok strawberi melalui platform perniagaan dalam talian dan media sosial sejak bulan lepas dan sambutan yang diterima sangat menggalakkan.

Ramli turut berharap supaya tanaman strawberinya itu akan terus berkembang dan kebun mininya mempunyai lebih 3,000 pokok strawberi.


Like it? Share with your friends!

What's Your Reaction?

hate hate
0
hate
confused confused
0
confused
fail fail
0
fail
fun fun
0
fun
geeky geeky
0
geeky
love love
0
love
lol lol
0
lol
omg omg
0
omg
win win
0
win
Aizat tazia

Emperor

0 Comments

Your email address will not be published. Required fields are marked *