Demi anak, bapa dirikan ‘kelas khemah atas bukit’ untuk belajar


Demi membantu anaknya mendapatkan capaian Internet bagi memudahkan dia mengikuti pengajian dalam talian, seorang bapa di Bukit Petai Tujuh, Kelantan telah bertindak mendirikan sebuah khemah di atas bukit setinggi kira-kira 20 meter.

Menurut Nurlieda Khaleeda Mohd Azmi, 20, pelajar Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), sebelum ‘kelas’ itu didirikan oleh bapanya Mohd Azmi Ahmad, dia terpaksa ke bandar yang terletak kira-kira tiga kilometer dari rumahnya untuk mendapat akses Internet bagi mengikuti pengajian.

“Namun, disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 21 Nov lepas, saya tidak dapat ke bandar dan ayah mengambil keputusan untuk mendirikan khemah itu untuk saya,” katanya.

Mohd Azmi, 48, membina khemah itu pada hari pertama pelaksanaan PKPB selama dua minggu di Kelantan. Ia berikutan kemudahan telekomunikasi yang tidak memuaskan di kawasan rumahnya.

Bagi memastikan keselesaan anaknya yang merupakan penuntut tahun dua jurusan Teknologi Makmal Perubatan mengikuti sesi pembelajaran, Mohd Azmi melengkapi khemah itu dengan kerusi dan meja.

Nurlieda Khaleeda berkata hampir setiap hari dia menggunakan ‘kelas’ itu yang terletak kira-kira 30 meter dari rumahnya, kecuali pada waktu malam kerana bimbang dengan keselamatannya yang terdedah kepada ancaman haiwan berbisa seperti ular.

“Lebih merisaukan saya ketika ini kerana sedang menduduki peperiksaan yang bermula 23 Nov hingga 3 Dis ini. Saya perlu menggunakan kamera telefon bimbit bagi memudahkan pensyarah memantau.

“Saya rasa agak tertekan dengan rangkaian Internet di kampung ini yang kadangkala ada kadangkala tiada sehingga menyukarkan saya untuk menjawab peperiksaan, malah masa dua jam diberikan tidak cukup disebabkan gangguan liputan talian. Jika talian Internet terputus, saya terpaksa menjawab semula soalan dan tiada masa tambahan diberikan,” luah anak sulung daripada lima beradik itu.

Sementara itu, Mohd Azmi berkata dia akan menemani anaknya di khemah itu hingga selesai sesi pembelajaran atau peperiksaan.

“Tambahan pula pada ketika ini setiap hari hujan, khemah ini tidak selesa namun tiada pilihan untuk masa depan anak saya dalam pendidikan. Masalah ini bukan hanya dihadapi oleh anak saya tetap pelajar lain juga di sini.

Masalah liputan Internet dan talian telefon sudah lama dialami penduduk di sini serta lima kampung berdekatan yang lain. Malah ada juga golongan muda membina pondok di atas pokok untuk mendapatkan Internet dan rangkaian telekomunikasi lain,” katanya.


Like it? Share with your friends!

What's Your Reaction?

hate hate
0
hate
confused confused
0
confused
fail fail
0
fail
fun fun
0
fun
geeky geeky
0
geeky
love love
0
love
lol lol
0
lol
omg omg
0
omg
win win
0
win
Aizat tazia

Emperor

0 Comments

Your email address will not be published. Required fields are marked *