Cikgu Sam punya lebih “60 orang anak”


KUANTAN: Dahulu, dia rasakan dirinya terlalu bagus untuk mengajar di sekolah anak-anak Orang Asli ini sehinggakan hanya tiga bulan berada di Sekolah Kebangsaan (SK) Runchang, Rompin, dia terus berhasrat untuk berhenti dari menjadi guru.

“Sebagai orang muda yang bercita-cita tinggi, ia seolah-olah membunuh semangat saya apabila dihantar ke sekolah pedalaman, ditambah pula dengan cakap-cakap bahawa tak perlu berlebih-lebih kerana itu hanya anak Orang Asli yang tidak akan pergi jauh.

“Selama tiga bulan saya cuba menyesuaikan diri, bertanyakan pada diri adakah mengajar Orang Asli boleh membantu melonjakkan karier saya? Sehingga akhirnya saya sedar mereka juga sangat istimewa, jika kita sedia mendengar dan menerima mereka sepenuhnya.

“Dari situ, saya tahu anak murid Orang Asli inilah yang lebih banyak mengajar saya tentang kehidupan daripada saya sebagai seorang guru kepada mereka,” ujar anak jati Kuantan ini.

Hari ini, tanpa sedar Samuel Isaiah, 33 telah berkhidmat di sekolah tersebut selama lapan tahun bermula dari tahun 2012 sehingga hubungan di bilik darjah ‘berkembang’ kepada ibu bapa dan penduduk kampung Orang Asli di situ.

Pada tahun 2019, anak kedua daripada empat beradik itu terpaksa berpisah dengan anak-anak muridnya kerana melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana Dasar Pendidikan dan Kepimpinan di State University of New York, Amerika Syarikat (AS).

Namun, disebabkan pandemik COVID-19, Samuel kembali ke Malaysia pada pertengahan Jun lepas dan kini meneruskan pengajian secara dalam talian. Dia dijangka akan kembali ke universiti sekitar Januari tahun depan bagi menghabiskan semester akhir.

Sepanjang berada di AS, Samuel yang baru menyambut ulang tahun kelahiran ke-33 pada 25 Oktober lepas, masih berhubung dengan anak muridnya kira-kira dua kali sebulan menerusi panggilan video dengan bantuan rakan pendidik di SK Runchang.

Cikgu Sam bersama sebahagian dari anak-anak murid yang digelar sebagai “anak-anaknya”.

“Kami ibarat sebuah keluarga. Saya bertanya mengenai pelajaran dan mereka banyak menyoal tentang Amerika Syarikat seperti adakah saya telah melihat salji? Mereka adalah anak-anak saya dan setiap tahun, saya mempunyai kira-kira 60 anak tidak termasuk bekas anak murid yang kekal berhubung,” katanya tersenyum yang juga mesra dipanggil Cikgu Sam.

Hubungan erat itu juga mendorong Samuel ‘kembali’ ke kampung itu dua kali seminggu, biasanya pada Isnin dan Jumaat untuk membantu anak muridnya yang agak ketinggalan disebabkan wabak COVID-19 dengan memberikan kelas tambahan selepas waktu persekolahan.

Niat beliau untuk membuat kejutan pada hari pertama kembali ke kampung itu pada pertengahan Ogos lepas tidak berjaya, apabila kereta yang dipandunya dikenali penduduk sekitar menyebabkan dia dikerumuni penduduk dan anak muridnya dalam masa singkat.

“Mereka datang untuk memeluk dan memberikan tepukan ‘high five’. Mereka terlalu seronok melihat saya berada di hadapan mereka dan ingin tahu jika saya akan meninggalkan mereka lagi, selain soalan adakah Runchang atau Amerika Syarikat lebih menarik,” katanya.

Ditanya adakah beliau memang bercita-cita menjadi seorang guru, Samuel ketawa kecil dan berkata dirinya boleh diibaratkan memberontak apabila memilih untuk menyambung pelajaran dalam bidang bahasa, berbanding hasrat orang tuanya yang mahu beliau bergelar doktor atau jurutera.

Bidang bahasa, menurut Samuel lebih sesuai dengan minatnya yang sukakan muzik dan kesusasteraan, bagaimana pun beliau mengakui minat mengajar tidak timbul langsung dalam diri beliau walaupun semasa berada di Institut Perguruan Persekutuan Pulau Pinang pada 2005, sehinggalah beliau menjejakkan kaki di SK Runchang.

Samuel Isaiah tersenarai sebagai finalis Anugerah Hadiah Guru Global 2020 dan dia merupakan 10 finalis daripada lebih 12,000 pencalonan guru daripada lebih 140 negara di seluruh dunia.

Dia menyifatkan penghormatan itu adalah untuk anak-anak muridnya dan ibu bapa mereka yang kerap menyokong walaupun semasa beliau melakukan perkara baharu seperti menggunakan ukulele dalam kelas.

“Mereka membuka mata saya dalam bidang pendidikan dan lebih banyak lagi yang perlu dilakukan untuk membantu Orang Asli dalam pendidikan. Berada dalam senarai 10 terbaik ini adalah pengiktirafan kepada mereka yang membolehkan seorang guru pedalaman seperti saya dikenali di peringkat antarabangsa,” katanya.

Walaupun menyedari dirinya berdepan laluan sengit dengan kehebatan finalis lain, Samuel berkata beliau berhasrat menubuhkan sebuah yayasan khusus untuk meningkatkan aspek sosial Orang Asli termasuk aspek pendidikan, jika menerima anugerah yang menawarkan hadiah AS$1 juta (RM4.16 juta) itu.

Dalam pada itu kejayaan guru bahasa Inggeris ini, yang dipilih sebagai 10 finalis Anugerah Hadiah Guru Global 2020 itu turut mendapat perhatian Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Seri Paduka menzahirkan ucapan tahniah serta sukacita dan bangga atas dedikasi serta usaha murni guru muda dari Kuantan, Pahang itu dalam mendidik murid-murid sehingga terpilih sebagai calon untuk menerima anugerah tersebut, sekali gus mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.

Anugerah itu merupakan program pengiktirafan guru dianjurkan dengan kerjasama Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Samuel telah memperkenalkan pelbagai inovasi bagi memberi inspirasi kepada muridnya yang terdiri daripada Orang Asli, untuk menyimpan impian besar serta berusaha menghubungkan mereka ke dunia luar.

Antara program diperkenalkan Samuel ialah projek pertukaran e-mel dikenali sebagai ‘Asli E-Pal’, dan murid-murid boleh berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dengan sukarelawan yang lebih dewasa dari dalam dan luar negara.

Samuel juga memperkenalkan program ‘Speak Up With Poetry’ (Bersuara dengan Puisi) iaitu projek kerjasama beliau dengan penyair amatur yang menulis puisi berkaitan kebudayaan Orang Asli dan kemudiannya murid-murid boleh menonton program itu dalam bentuk video untuk pembelajaran bahasa Inggeris.

Sejak pengenalan pelbagai program oleh guru berkenaan, purata kadar lulusan mata murid bahasa Inggeris di sekolah tersebut meningkat dari 30 peratus pada 2012 kepada 80 hingga 85 peratus pada 2015-2018. Samuel dinobatkan sebagai penerima anugerah Guru Adiwira 2019.


Like it? Share with your friends!

What's Your Reaction?

hate hate
0
hate
confused confused
0
confused
fail fail
0
fail
fun fun
0
fun
geeky geeky
0
geeky
love love
0
love
lol lol
0
lol
omg omg
0
omg
win win
0
win
Aizat tazia

Emperor

0 Comments

Your email address will not be published. Required fields are marked *