“Boleh Berlaku Tanpa Sakit Dada?” Ini Antara 7 Cara Kesan Sakit Jantung Yang Perlu Diberi Perhatian


Warning signs of a heart attack

Sakit jantung merupakan penyakit yang tidak mengenal mangsa. Malah, individu yang aktif juga tidak terkecuali daripada penyakit ini.

Malah, ia juga tidak datang dengan satu tanda sahaja biarpun ia sering dikaitkan dengan rasa sakit pada bahagian dada. Menurut pakar, terdapat sekurang-kurangnya tujuh tanda lain yang mungkin menunjukkan anda mungkin mengalami sakit jantung.

Sakit jantung, pembunuh nombor satu negara. Demikianlah slogan yang sememangnya tidak asing lagi pada rakyat Malaysia.

Tidak kiralah anda berasal dari mana, masalah jantung selalunya mendahului punca kematian dalam sesebuah negara.

Jika bukan nombor satu pun, ia akan berada dalam carta 5 teratas.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), hampir 17.9 juta kematian direkodkan di peringkat global pada setiap tahun akibat masalah sistem kardiovaskular.

4 daripada 5 kematian berkaitan dengan sistem tersebut disebabkan oleh serangan jantung dan strok.

Risiko untuk seseorang itu mati selepas mendapat serangan jantung berkait rapat dengan tempoh waktu mereka diperiksa dan dirawat.

Jadi, ambil tahu gejala serangan jantung bagi mengelakkan komplikasi yang boleh mengancam nyawa.

Kenapa seseorang itu boleh dapat serangan jantung?

Secara amnya, sakit jantung berlaku disebabkan oleh ketidakupayaan otot jantung untuk mendapat bekalan darah akibat salur darah tersumbat.

Seperti sel tubuh badan yang lain, sel jantung turut memerlukan oksigen dan nutrien untuk berfungsi dengan baik.

Tanpanya, sel jantung boleh beransur-ansur mati.

Seperti proses penyakit yang lain, salur darah tersumbat tidak berlaku semalaman.

Ia merupakan satu proses patologikal yang berlaku beransur-ansur sehingga ruangan salur darah terlibat menjadi sangat sempit.

Ketulan darah beku boleh terbentuk di dalam aliran darah akibat daripada penguraian plak kolesterol.

Ia berupaya menyebabkan ruangan kecil yang masih tertinggal itu tersumbat, sekali gus membuatkan aliran darah ke otot jantung terganggu.

Sel jantung tidak akan mendapat bekalan oksigen yang cukup dan akan beransur-ansur mati.

Disebabkan oleh proses inilah seseorang itu akan mengalami sakit dada setiap kali mereka mendapat serangan jantung.

Jenis serangan jantung yang dialami boleh ditentukan berdasarkan dapatan bacaan di mesin elektrokardiogram (ECG).

Secara amnya, ia boleh dibahagikan kepada 2:

Sakit jantung dengan karakter ECG yang menunjukkan peningkatan pada segmen ST (salur darah tersumbat sepenuhnya).
Segmen ST tidak menunjukkan sebarang perubahan ketika individu mengalami penyakit jantung (salur darah tidak tersumbat sepenuhnya).
Terdapat juga punca lain yang boleh menyebabkan serangan jantung seperti pengambilan dadah terlarang.

Dadah seperti kokain dan penggunaan bahan tembakau boleh menyebabkan spasme pada salur darah arteri.

Ini bermakna, otot pada salur darah tersebut akan menyebabkan ruang menjadi sempit akibat proses pengecutan patologi.

Tanda serangan jantung yang perlu diberi perhatian
Berbeza dengan situasi di hospital yang dilengkapi dengan peralatan canggih untuk mengesan sakit jantung, diagnosis masalah tersebut di luar hanya berdasarkan simptom yang dialami oleh individu.

Namun pada kebanyakan masa, diagnosis berdasarkan simptom adalah tidak tepat kerana gejalanya lebih kurang sama dengan penyakit lain.

Justeru, pemeriksaan awal amat disarankan.

Sakit dada di sebelah kiri sudah sinonim dengan masalah serangan jantung walaupun ia juga boleh disebabkan oleh keadaan kesihatan lain.

Oleh sebab itulah, anda juga perlu peka dengan gejala lain seperti:

  1. Lengan di sebelah kiri, leher, dagu atau bahagian belakang terasa lemah atau kebas.
  2. Sesak nafas.
  3. Loya.
  4. Sakit pada bahagian abdomen atas.
  5. Berpeluh sejuk.
  6. Kelesuan.
  7. Pening kepala.

Pun begitu, tanda serangan jantung yang dialami oleh setiap individu berbeza mengikut faktor persekitaran dan penyakit kronik yang dialami.

Sebagai contoh mereka yang mempunyai masalah kencing manis tidak terkawal boleh mengalami serangan jantung tanpa sakit dada.

Terdapat juga individu yang hanya mengalami gejala ringan.

Walau bagaimanapun, secara amnya, semakin banyak gejala sakit jantung yang dialami seseorang itu, semakin tinggilah kebarangkalian anda mengalami serangan jantung.

Selain ECG, pengambilan sejarah pesakit dan pemeriksaan fizikal penting dalam proses mendiagnosis penyakit jantung.

Hal ini disebabkan oleh masalah perubahan segmen ST pada bacaan ECG boleh berpunca daripada keadaan kesihatan jantung lain seperti keradangan (perikarditis), aneurisme dan sebagainya.

Pemeriksaan darah juga akan dilakukan bagi memeriksa jumlah enzim yang akan dirembeskan jika berlakunya kematian sel jantung.

Rawatan bagi sakit jantung akan dilakukan menurut protokol yang sistematik bagi memastikan kematian sel jantung dapat dielakkan seoptimum mungkin.

Prosedur pembedahan juga boleh dilakukan mengikut kepada keadaan kesihatan semasa.

Antara prosedur yang lazim adalah seperti berikut:

  • Angioplasti, pembukaan salur darah menggunakan tiub yang mempunyai belon pada muncungnya.
  • Penggunaan wayar tiub (stent) bagi memastikan salur darah terbuka selepas prosedur angioplasti.
  • Pembedahan pintasan jantung untuk mencipta saluran baharu bagi memintas kawasan salur darah yang tersumbat.
  • Pemasangan pacemaker bagi memastikan rentak degupan jantung normal.
  • Pembedahan injap jantung bagi mereka yang mengalami kebocoran injap semasa jantung berdegup.
  • Pemindahan organ jantung jika terdapat kerosakan kekal pada majoriti otot jantung menyebabkan fungsi jantung tidak efisien.

Konklusi

Sebenarnya, bukan mudah bagi seseorang itu untuk mengesan tanda serangan jantung terutamanya jika mereka mengalami simptom tidak lazim seperti sakit pada bahagian abdomen atas.

Lebih teruk lagi jika seseorang itu tidak mengalami sakit dada langsung semasa proses patologi itu sedang berlaku.

Apa yang penting adalah pesakit perlu memberikan sejarah perubatan yang tepat bagi membantu doktor mendiagnosis masalah jantung dengan lebih tepat.


Like it? Share with your friends!

What's Your Reaction?

hate hate
0
hate
confused confused
0
confused
fail fail
0
fail
fun fun
0
fun
geeky geeky
0
geeky
love love
0
love
lol lol
0
lol
omg omg
0
omg
win win
0
win
Aizat tazia

Emperor

0 Comments

Your email address will not be published. Required fields are marked *