Bekas pesakit COVID-19 alami masalah gangguan bau selepas sembuh


LONDON: Seorang wanita berkongsi kesan menjijikkan yang masih dideritainya akibat COVID-19 walaupun sudah beberapa bulan sembuh daripada jangkitan virus berkenaan.

Pesakit yang mengalami ‘COVID jangka panjang’ itu melaporkan sering terbau benda hanyir seperti ikan atau hancing seperti air kencing, malah pelbagai gejala lain akibat virus pembunuh itu.

Sarah Govier, 44, dari Whitstable, Kent, tenggara England, dijangkiti virus berkenaan pada Mei dan kini, dia kehilangan deria baunya.

Ibu beranak dua itu berkata, ‘semua makanan berbau reput’ hingga dia tidak lalu makan walaupun makanan kegemarannya. Ini menyebabkan dia mengalami susut berat badan.

Padanya sekarang bau daging seperti sabun atau minyak wangi, ubat gigi seperti petrol manakala kopi berbau seperti asap kereta. Bawang putih juga berbau seperti air paya malah, dia langsung tidak lalu menjamah kek coklat kerana rasanya terlalu menjijikkan.

Govier kini mewujudkan kumpulan sokongan di Facebook yang membolehkan mereka perkongsian pengalaman, teori dan petua untuk ‘latihan menghidu’.

“Bau kopi amat menjengkelkan, dan begitu seksa setiap kali memberus gigi kerana rasanya seperti saya menggunakan minyak petrol, bukannya ubat gigi!” ujarnya.

Katanya, deria bau yang terlalu sensitif menyebabkan dia lebih ‘pening’ dengan bau air kencing dan peluh.

“Kalau berjalan sekejap saja pun, bau peluh pada badan sendiri tidak ubah seperti kobis mereput jadi saya sering rasa tidak yakin disebabkan diri sentiasa berbau busuk,” katanya.

Sementara itu, Daniel Saveski, 24, yang bekerja sebagai pegawai bank di London mengalami parosmia iaitu gangguan bau sejak dijangkiti virus korona pada Mac.

Saveski berkata, tong sampah kadangkala berbau seperti belerang dan dia kini tidak lagi dapat menikmati makanan kegemarannya.

“Sebenarnya agak menyedihkan kerana saya kini, tidak lagi seronok makan,” katanya.

Sementara itu, pakar telinga, hidung dan tekak Profesor Nirmal Kumar berkata, parosmia terutamanya dialami pekerja kesihatan dan golongan muda.

Dia antara orang pertama yang mengenal pasti anosmia atau kehilangan deria baru sebagai petanda jangkitan virus korona pada Mac dan kini menggesa Public Health England menyenaraikan ia sebagai salah satu gejala.

Selepas merawat dan mengkaji pesakit dengan anosmia jangka panjang – sesuatu yang dikatakan menjejaskan ribuan orang di sekitar Amerika Syarikat – Profesor Kumar berkata, ada di antara golongan itu yang sembuh tetapi tiba-tiba mengalami parosmia pula.

“Pagi ini saya berjumpa dengan dua pesakit yang mengalami parosmia. Seorang daripadanya berkata dia hanya terbau ikan hanyir, manakala seorang lagi sering terbau benda hangit sedangkan tiada apa-apa yang terbakar.

“Kedua-duanya pekerja kesihatan. Kami melihat peningkatan kejadian seumpama itu dalam golongan muda serta pekerja kesihatan akibat pendedahan terhadap virus berkenaan di hospital.

“Keadaan ini amat menyeksakan bagi segelintir pesakit. Kami menggelarnya virus neurotropik, iaitu menyerang saraf di hidung, tidak ubah seperti kejutan terhadap sistem saraf seterusnya mengakibatkan ia tidak berfungsi.” jelasnya lagi.

Sementara itu, badan kebajikan Charity AbScent yang menyokong pesakit gangguan bau, mencadangkan ‘latihan bau’ untuk mereka yang mengalami anosmia dan parosmia termasuk menghidu bau minyak mawar, lemon, cengkih dan kayu putih selama 20 saat setiap hari untuk memulihkan deria berkenaan.


Like it? Share with your friends!

What's Your Reaction?

hate hate
0
hate
confused confused
0
confused
fail fail
0
fail
fun fun
0
fun
geeky geeky
0
geeky
love love
0
love
lol lol
0
lol
omg omg
0
omg
win win
0
win
Aizat tazia

Emperor

0 Comments

Your email address will not be published. Required fields are marked *