7 Reka Bentuk Untuk Rumah Setingkat Di Malaysia


Ada sesetengah orang yang lebih gemar memandang rumah banglo berbanding rumah setingkat. Tetapi, Rumah setingkat ini juga boleh direka dan dihias dengan sangat cantik berbanding rumah banglo kalau kena dengan gayanya. Artikel ini menyenaraikan 7 reka bentuk seperti kolonial, moden, shortgun dan ranch yang boleh dijadikan inspirasi buat anda!

Kebanyakan rumah setingkat ini banyak dijumpai di kawasan kampung-kampung dan juga di kawasan luar Lembah Klang. Dari segi kos pembinaan pula, ia jauh lebih rendah berbanding rumah banglo. Rumah setingkat ini sangat sesuai bagi orang yang penat atau mengah bila selalu naik turun tangga.

Walaupun hanya rumah setingkat sekalipun, anda juga masih boleh memilih reka bentuk yang cantik dan juga unik tau! Dalam artikel ini juga, terdapat beberapa reka bentuk rumah dan anda boleh lah cuci mata, mata tau ada reka bentuk yang berkenan di hati.

#1 Rumah Moden Pertengahan Abad

Reka bentuk jenis mid-century (pertengahan abad) ini merupakan satu kategori yang agak luas. Ia merangkumi reka bentuk antara tahun 1933 sehingga 1965 dan banyak mengambil pengaruh daripada Revolusi Industri pada hujung abad ke-19 dan juga pada zaman selepas Perang Dunia Pertama. Reka bentuk ini menampilkan elemen garisan lurus dan juga kemas.

Terdapat juga elemen lain seperti tingkap kaca yang besar, dinding kaca dan juga ruang terbuka. Rekaan jenis ini akan menggalakkan orang rumah untuk keluar ke laman.

Cahaya matahari serta angin yang masuk juga akan membuat kita rasa lebih tenang, senang dan tidak rasa terperuk macam dalam gua.

Tingkap kaca ini juga mempunyai banyak kelebihan dimana ia baik untuk anak-anak kecil. Dengan tingkap biasa, kebiasaanya mereka tidak nampak ruang kat luar. Jadi, mereka dapat lihat pemandangan diluar dengan jelas.

Selain itu, tingkap besar ini juga dapat membantu mengaktifkan deria serta dapat membantu perkembangan minda mereka. Rekaan rumah moden ini juga menonjolkan elemen yang minimalis dan skim warna pun biasanya ada satu atau dua warna je. Contohnya, gabungan warna hitam dan putih yang kontra ataupun gabungan warna-warna tanah yang lembut.

#2 Rumah Gaya Kolonial

Rumah gaya kolonial ini merupakan rekaan yang berasal dari Britain seawal tahun 1876 dan menjadi antara reka bentuk paling terkenal di Amerika. Reka bentuk ini kemudiannya, dibawa masuk ke negara-negara di Asia Tenggara termasuklah Malaysia.

Rekaan kolonial ini biasanya menampilkan reka bentuk simetri dengan pintu rumah di tengah-tengah dan susunan elemennya sama di sebelah kiri dan kanan. Elemen-elemen ini termasuklah tiang, pedimen, tingkap dan juga pagar kecil.

Pada bahagian tingkap pula ada tulang yang akan menggabungkan beberapa bilah kaca. Ada juga tingkap jenis “sliding window” yang anda cuma tarik untuk buka dan tutup.

Rekaan ini juga menampilkan fasad yang dibina daripada kayu atau batu-bata. Antara kelebihan rumah jenis kolonial ini adalah senang kalau anda nak tambah bahagian sisi/belakang jika keluarga anda makin besar atau bila anda jadi atuk nenek dan nak bersedia untuk anak cucu balik Raya.

#3 Rumah Gaya ‘Craftsman’

Rumah ini juga terkenal dan sering dipuji kerana seni pertukangannya yang berkualiti tinggi. Ia juga didirikan dengan bahan binaan tradisional seperti kayu, batu dan juga batu-bata.

Bumbung rumah ini adalah jenis yang rendah dengan atap yang luas berbentuk segi tiga.

Kebanyakan rumah jenis ini juga mempunyai beranda dengan tiang silinder/ petak yang tebal dengan lapisan batu pada tapak tiang. Tapak tiang (beam) ini biasanya lebar di bawah berserta dengan ukiran di bahagian atas.

Dari segi pilihan warna pula, ia terkenal dengan warna musim luruh dan tona yang menyerapkan elemen alam semula jadi. Jadi, jika anda jiwa tengah kacau atau stres, bolehlah melihat dinding nya dah sejuk hati.

Kos pembinaanya pula lebih rendah dan mudah dijaga serta lebih mesra alam oleh kerana ia dibina daripada bahan-bahan seperti kayu dan batu.

#4 Rumah Gaya ‘Ranch’

Rumah jenis ini muncul pada zaman perang, waktu dimana ramai pasangan muda yang baru nak mendirikan rumahtangga dan mereka memerlukan rumah pada kos yang rendah. Ia perlahan-lahan menggantikan rumah jenis craftsman pada waktu itu.

Rekaan ini sama seperti rumah craftsman, bumbung rumah jenis ranch juga rendah dan lebar. Ia menampilkan tingkap kaca yang besar serta pintu gelongsor.

Terdapat juga satu ciri yang unik pada rumah jenis ini iaitu ruang patio yang luas. Patio ini adalah kawasan kat luar rumah yang berturap (biasanya dengan batu), dimana anda boleh duduk lepak sambil minum kopi, tak pun boleh dijadikan tempat berBBQ.

Rumah ini ada pelan konsep terbuka dimana ia menggabungkan bilik-bilik berlainan dalam rumah kepada satu ruang. Selalunya pelan rumah adalah berbentuk segi empat, tapi ada juga yang berbentuk ‘U’ atau ‘L’.

Apabila ia berkonsep terbuka, jadi lebih senang untuk bersembang bersama ahli keluarga. Jika anda mahu menghadap laptop sambil bermain game pun, anda masih duduk dalam ruang yang sama dengan ibubapa, sambil-sambil tengok anak main depan TV.

Ruang terbuka ini sangat menggalakkan interaksi dan merapatkan hubungan keluarga.

#5 Rumah Gaya ‘Shotgun’

Rumah ini adalah rumah yang sangat kecil, kadang-kadang ada satu bilik je beserta dengan dapur dan tandas. Ia boleh dikatakan seperti pondok atau apartmen studio.

Nama ‘shotgun’ ini berasal daripada reka bentuk yang sangat linear. Bermakna, kalau anda tembak senapang ‘shotgun’ dari pintu hadapan, ia akan terus tembus ke pintu belakang tanpa langgar apa-apa.

Rumah jenis ini pada asalnya dibina oleh pemaju yang nak muatkan seberapa boleh rumah dalam satu kawasan. Jadi, disebabkan rumah-rumah ini berdekatan, ia menggalakkan penduduk untuk bertegur sapa sesama mereka. Rumah ini juga biasanya dicat dengan warna yang terang dan disertakan bersama beranda kecil.

#6 Rumah Kontemporari

Reka bentuk rumah kontemporari merupakan reka bentuk yang terkini. Ini bermakna ia sentiasa berubah dan sentiasa dipengaruhi oleh gaya-gaya yang sebelumnya.

Reka bentuk zaman sekarang banyak dipengaruhi oleh rupa luaran rumah ‘craftsman’ digabungkan dengan pelan terbuka. Rumah kontemporari menampilkan reka bentuk tidak semetri serta gaya yang ringkas dan praktikal, tanpa hiasan atau ukiran tambahan.

Oleh kerana kesedaran mengenai penjagaan alam makin meningkat kini, rumah kontemporari mementingkan elemen mesra alam, daripada reka bentuk yang menjimatkan tenaga sehinggalah bahan binaan yang dikitar semula seperti rumah kontena.

#7 Rumah Moden

Rumah moden ini sudah dibina sejak awal 1900-an sehingga 1950-an. Rekaan moden ini seperti namanya, ia merujuk kepada era terikini atau zaman sekarang.

Pada penghujung abad ke-19, reka bentuk rumah mempunyai banyak yang berhias, bersama ukiran disan sini. Jadi para arkitek pada waktu itu mahukan sesuatu yang lain daripada yang lain.

Jadi mereka mula meneroka reka bentuk rumah yang lebih praktikal, tampak ringkas, tanpa perlu butiran atau hiasan.

Reka bentuk ini menampilkan susunan elemen seperti dalam garisan melintang, pelan lantai yang terbuka, rupa yang tak simetri, serta tingkap atau dinding kaca yang besar.

Rekaan ini juga cuba untuk menghubungkan kawasan dalam dan luar rumah, untuk menggalakkan penghuni meluangkan masa di bawah cahaya matahari, di sekeliling pokok-pokok.

Oleh kerana reka bentuknya yang kosong (tiada hiasan) serta warna yang gelap, mungkin rumah macam ni tak nampak mengalu-alukan. Nak tekan loceng kat pagar pun fikir dua tiga kali.

Tapi bila anda masuk dalam rumah, anda boleh lihat suasana yang lebih mesra, dengan bahan binaan seperti kayu atau marmar dengan warna yang lebih lembut.

Kesimpulannya

Walaupun anda mempunyai bajet yang kecil bagi rumah setingkat, tidak bermakna anda tidak boleh mereka bentuk yang unik dan cantik.

Anda boleh berbincang dengan arkitek mengenai reka bentuk yang anda mahukan, elemen apa yang perlu dan tidak perlu. Pada masa yang sama, macam mana nak jimatkan kos supaya tidak membazir.

Semoga bermanfaat dan semoga anda dapat rumah idaman anda!

Sumber: https://www.propertyguru.com.my/property-guides/rekaan-rumah-setingkat-malaysia-40221


Like it? Share with your friends!

What's Your Reaction?

hate hate
0
hate
confused confused
0
confused
fail fail
0
fail
fun fun
0
fun
geeky geeky
0
geeky
love love
0
love
lol lol
0
lol
omg omg
0
omg
win win
0
win
Aniss

Legend

0 Comments

Your email address will not be published. Required fields are marked *