12.8 juta dos vaksin Covid-19 tahun depan


Putrajaya: Malaysia akan mendapatkan bekalan 12.8 juta dos vaksin Covid-19 daripada syarikat farmaseutikal Pfizer bagi menampung keperluan imunisasi 20 peratus atau 6.4 juta rakyat negara ini, demikian menurut Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Perdana Menteri berkata penghantaran bekalan pertama sebanyak satu juta dos akan dibuat pada suku pertama tahun depan disusuli dengan 1.7 juta (suku kedua), 5.8 juta (suku ketiga) dan 4.3 juta dos pada suku keempat tahun depan.

Beliau berkata pemerolehan bekalan daripada Pfizer itu adalah hasil perjanjian pembelian awal ditandatangani kerajaan dengan syarikat itu melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Selasa lalu.

“Perjanjian dengan syarikat berkenaan bertujuan memastikan kerajaan mempunyai akses kepada data untuk menilai kualiti, keselamatan dan keberkesanan di samping menjamin akses kepada vaksin itu sekiranya sedia untuk diedarkan oleh pihak syarikat.

“Pfizer pada 9 November lalu menyatakan bahawa analisis data interim pertama menunjukkan keberkesanan vaksin adalah 95 peratus,” katanya pada sidang media di sini.

Sidang media berkenaan turut dihadiri Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin.

Bagaimanapun, Muhyiddin menjelaskan syarikat Pfizer masih perlu mendapatkan kelulusan Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (FDA) dan kelulusan regulatori dari negara pengeluar, di samping mendapat kelulusan daripada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) KKM sebelum vaksin ini boleh digunakan di Malaysia.

Katanya, kerajaan juga telah memeterai perjanjian dengan fasiliti Covax untuk mendapatkan vaksin Covid-19 bagi menampung keperluan imunisasi 10 peratus rakyat Malaysia.

Susulan dua perjanjian itu, katanya, Malaysia dijangka dapat menjamin akses vaksin Covid-19 untuk 30 peratus rakyat Malaysia.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata proses pemberian vaksin setelah diperolehi akan dilakukan secara berperingkat dengan mengutamakan kumpulan berisiko tinggi seperti petugas barisan hadapan, warga emas, pesakit jantung, diabetes dan pesakit yang menghidap masalah pernafasan kronik.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata KKM dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) masih giat meneruskan rundingan dengan syarikat pengeluar vaksin di seluruh dunia untuk mendapatkan bekalan yang secukupnya untuk rakyat negara ini.

Pada sidang itu, Perdana Menteri turut mengumumkan bahawa KKM bakal memulakan kajian klinikal fasa 3 vaksin Covid-19 yang dibangunkan oleh Institute of Medical Biology Chinese Academy of Medical Sciences (IMBCAMS) menerusi inisiatif kerajaan dengan kerajaan (G2G) bersama China.

Kajian klinikal fasa-3 berkenaan akan melibatkan sejumlah 3,000 peserta dan akan menilai keselamatan serta keberkesanan vaksin Covid-19 yang dibangunkan itu.

Kajian yang dijangka bermula bulan depan itu akan dikendalikan oleh Pertubuhan Kajian Klinikal (CRO) tempatan dan telahpun didaftarkan dalam Daftar Kajian Perubatan Nasional (NMRR).

“Profil keselamatan vaksin akan diteliti terlebih dahulu oleh NPRA untuk memperoleh Lesen Import Kajian Klinikal (CTIL) dan protokol kajian akan dikaji oleh Jawatankuasa Etika dan Kajian Perubatan (MREC) bagi memastikan kajian yang akan dijalankan mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh KKM,” katanya.

Muhyiddin berkata kajian klinikal fasa 3 ini juga akan melibatkan lapan buah pusat penyelidikan klinikal di bawah seliaan KKM.

“Kerajaan juga ingin memberi jaminan kepada semua rakyat bahawa vaksin yang akan digunakan di Malaysia mesti melepasi syarat ketat yang ditetapkan oleh NPRA.

“Kerajaan tidak akan sesekali berkompromi dalam soal ini,” katanya.


Like it? Share with your friends!

What's Your Reaction?

hate hate
0
hate
confused confused
0
confused
fail fail
0
fail
fun fun
0
fun
geeky geeky
0
geeky
love love
0
love
lol lol
0
lol
omg omg
0
omg
win win
0
win
Aizat tazia

Emperor

0 Comments

Your email address will not be published. Required fields are marked *